Hamidin Mohd Amin

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji

Hamidin Mohd Amin

PSM; DIMP (Pahang); DSIS (Selangor); PJN; DMIJ (Johor)
Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia
Penjawat kini
Memegang jawatan
14 Julai 2018
Didahului olehTunku Ismail ibni Sultan Ibrahim
Butiran peribadi
Lahir (1965-12-24) 24 Disember 1965 (umur 58)
Gombak, Selangor, Malaysia
PasanganPuan Sri Datin Hajah Norliza binti Othman
Anak-anak4

Tan Sri Dato' Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin merupakan Presiden FAM yang ketujuh. Setelah pencapaian gemilang bersama Selangor FA, beliau telah dilantik sebagai pengurus skuad Futsal Malaysia sejak musim 2008 dan beliau sudah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM sehingga 2018. Kini beliau telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ke-7 dan merupakan rakyat biasa pertama memegang jawatan itu pada Kongres FAM Ke-54 yang berlangsung pada 14 Julai 2018.

Latar belakang

Tan Sri Dato' Haji Hamidin dilahirkan pada 24 Disember 1965 di Gombak, Selangor dan telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan hasil perkahwinan dengan Puan Sri Datin Hajah Norliza Binti Othman.

Beliau terlebih dahulu memulakan kerjaya dalam bidang perbankan selama 11 tahun di tiga buah bank berlainan iaitu Bank Pertanian Malaysia (1984-1985), Malayan Banking Berhad (1985-1991) dan Perwira Habib Bank Berhad (1991-1995).

Namun minat mendalam terhadap bola sepak termasuk menjadi antara orang kuat dalam Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) akhirnya menyaksikan Tan Sri Dato' Haji Hamidin membuat keputusan drastik meninggalkan bidang perbankan untuk menyertai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebagai Setiausaha Eksekutif pada 1 Ogos 1995.

Tiga tahun menjalankan tugas pentadbiran bola sepak Selangor dengan cemerlang, Tan Sri Dato' Haji Hamidin kemudian telah dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, jawatan yang terus disandang beliau selama 15 tahun sehingga 2013.

Sepanjang Tan Sri Dato' Haji Hamidin berkhidmat bersama FAS dari 1995 hingga 2013 itu, pasukan Selangor telah berjaya memenangi sebanyak 18 kejuaraan termasuk lima kali juara Piala Malaysia, empat kali juara Piala FA dan dua kali juara Liga Super.

Dalam tempoh berkenaan juga, Tan Sri Dato' Haji Hamidin mula mengembangkan bakat kepimpinan beliau dalam bidang pentadbiran bola sepak ke peringkat kebangsaan pula selepas terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2007-2010.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM ketika itu, Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah dilantik sebagai pengurus pasukan futsal lelaki kebangsaan selama empat tahun termasuk ketika memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2007 di Thailand.

Seterusnya pada Kongres FAM Ke-47 yang berlangsung pada 2010, Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah bertanding merebut jawatan Naib Presiden FAM membabitkan lapan calon. Beliau berjaya mengisi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden FAM itu bagi penggal 2010-2014.

Selain diberi peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM pada penggal berkenaan, Tan Sri Dato' Haji Hamidin turut dilantik sebagai pengurus pasukan B-23 kebangsaan ke Sukan SEA 2011 di Indonesia yang mana skuad kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee itu berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia pada aksi final di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Seterusnya Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah diumum sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu pada 27 Jun 2013 oleh Presiden FAM ketika itu, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah bagi menggantikan Dato' Sri Azzuddin Bin Ahmad yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Tan Sri Dato' Haji Hamidin meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS dan memulakan tugas secara rasmi sebagai Setiausaha Agung FAM pada 1 Julai 2013.

Sepanjang tempoh lima tahun sebagai Setiausaha Agung FAM sehingga 14 Julai 2018, Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah berkhidmat dengan tiga Presiden FAM iaitu KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah (2013-2014), KDYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah (2014-2017) dan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (2017-2018).

Selain itu, Tan Sri Dato' Haji Hamidin turut menjadi pengurus pasukan kebangsaan dari 15 Mei 2015 hingga 14 Julai 2018.

Di peringkat antarabangsa pula, Tan Sri Dato' Haji Hamidin pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2010 hingga 2014 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan AFC dari 2015 hingga 2018 selain turut merupakan Ahli Majlis AFF dan berada dalam Ahli Jawatankuasa Pertandingan AFF dari tahun 2013 hingga 2018.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan penglibatannya dalam pentadbiran bola sepak, Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah dianugerahkan darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang pada 2009 dan darjah kebesaran Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) oleh Sultan Selangor pada 2012, kedua-duanya membawa gelaran Dato' dan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah membawa gelaran Datuk pada 9 September 2019.

Tan Sri Dato' Haji Hamidin telah dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) yang membawa gelaran Dato' daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 2020 dan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 7 September 2024.[1]

Anugerah

  •  Malaysia :
    • Panglima Setia Mahkota (PSM) - Tan Sri (2024)
    • Panglima Jasa Negara (PJN) Datuk (2019)

Rujukan

  1. ^ YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI HAMIDIN BIN HAJI MOHD AMIN